Bangunan PKPS Blok C

Sejarah penubuhan PPPN Sabah bermula dengan penubuhan Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) yang telah wujud semenjak 14 Oktober 1969. Pada peringkat awal penubuhannya, pejabat ini telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB). Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1970, sebuah unit telah ditubuhkan pada tahun 1971 yang dikenali sebagai Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Penilaian (Implementation,Coordination and Evaluation Unit – ICEU). Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) diletakkan di bawah Unit ini.

Seterusnya, pada 1 Januari 1991, Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah atau ringkasnya JPPS telah ditubuhkan bagi menggantikan Pejabat Kemajuan Negeri. Ini adalah selaras dengan pelancaran Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1991 menggantikan DEB. Arahan No. 1 Tahun 1991, Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional telah dikeluarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri bagi menggantikan Arahan No. 1 Tahun 1971. Tujuan penubuhannya ialah untuk merancang, menyelaras dan mengesan projek-projek pembangunan Persekutuan di Negeri Sabah bagi mencapai matlamat membangunkan Negeri Sabah selaras dengan dasar dan wawasan pembangunan negara.

JPPS dipertanggungjawabkan mengurus peruntukan pembangunan yang disalurkan oleh pelbagai Kementerian/Jabatan Persekutuan bagi membiayai projek-projek Persekutuan di negeri ini. Sehubungan ini, keutamaan dibuat bagi memastikan program dan projek yang dirancang bagi tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun dapat dilaksanakan mengikut matlamatnya.

Projek-projek Persekutuan yang dilaksanakan oleh JPPS meliputi projek-projek pendidikan, keselamatan, kesihatan, pembinaan jalanraya, pembinaan lapangan terbang, bantuan bekalan air dan elektrik luar bandar, pembangunan pertanian dan projek-projek kemudahan awam lainnya.

Sebilangan besar projek-projek tersebut adalah dilaksanakan dengan menggunakan perkhidmatan juruperunding swasta, manakala sebahagian yang lain adalah dilaksanakan oleh pelbagai Jabatan/Agensi Persekutuan dengan penyeliaan Jabatan ini. Dalam tahun 1997, melalui keputusan rasionalisasi JPPS pada waktu itu, fungsi dan peranan JPPS telah disemak semula. Sebahagian projek-projek Persekutuan telah diserahkan kepada JKR negeri untuk dilaksanakan. Semua peruntukan pembangunan Persekutuan hendaklah terus disalurkan oleh Pegawai Pengawal kepada JPPS.

Walau bagaimanapun, pada 31 Mei 2008, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk memansuhkan JPPS berkuatkuasa dengan serta merta setelah menimbangkan permintaan daripada Kerajaan Negeri Sabah. Ini bermakna lima (5) Pejabat Pembangunan Bahagian iaitu di Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort dan Keningau juga dimansuhkan selain daripada Bahagian Teknikal. Sebaliknya, berkuatkuasa pada 1 Jun 2008, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (PPPN/SDO) Sabah diwujudkan dengan peranan dan fungsi-fungsi yang sama dengan SDO di negeri-negeri yang lain.